MFL benarkan penggunaan lima pemain asing dalam saingan piala

Oleh Bernama 29 Mac 2019 7972
MFL benarkan penggunaan lima pemain asing dalam saingan piala
Bermula musim ini, pasukan Liga Super dibenarkan menggunakan lima pemain import ketika berdepan lawan dari liga sama menerusi format baharu membabitkan pertandingan piala yang diperkenalkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

MFL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pasukan Liga Super, bagaimanapun, hanya dibenarkan menggunakan empat pemain import manakala seorang lagi pemain import boleh diletakkan di bangku simpanan ketika mereka berdepan pasukan Liga Perdana atau Liga M3 pada musim ini.

Pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu memaklumkan bahawa pasukan Liga Perdana dibenarkan menyenaraikan empat pemain import manakala pasukan amatur Liga M3 dibenarkan menggunakan dua pemain import ketika mereka berdepan sesama sendiri.

Keputusan berkenaan, jelas MFL, dicapai dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL pada 15 Mac lalu, bersetuju meminda peraturan pemain asing melibatkan pertemuan pasukan Liga Super, Liga Perdana dan Liga M3 dalam kejohanan berformatkan piala pada musim 2019.

Untuk rekod, sebelum ini MFL hanya membenarkan empat pemain import sahaja digunakan ketika pasukan Liga Super bertemu wakil dalam divisyen sama mahupun bertemu skuad dari Liga Perdana dalam Piala Malaysia, Piala FA atau Piala Sumbangsih.

Dalam perkembangan berasingan, MFL turut memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah bersetuju untuk mengubah peraturan sedia ada dengan dua slot yang ditawarkan kepada pasukan Liga M3 untuk ke Liga Perdana akan ditentukan menerusi perlawanan kalah mati.

MFL menjelaskan menerusi peraturan berkenaan, pasukan yang berada di tangga ke-11 Liga Perdana akan menentang juara Piala FAM manakala pasukan di tangga ke-12 akan bertemu juara Liga M3 bagi mengisi dua slot ke Liga Perdana. 

Bagaimanapun, syarat untuk dinaikkan ke Liga Perdana akan turut mengambil kira status pasukan tersebut sama ada benar-benar layak daripada sudut kewangan, pengurusan dan sebagainya sebelum bermulanya saingan kalah mati, kata MFL.

-- BERNAMA

 

Tentang Penulis

Bernama

Komen