Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalinggam, menegaskan tiada tarikh pasti dan jaminan bahawa pembayaran geran menepati jumlah RM3 juta bagi setiap pasukan seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.

Sehingga ke saat ini, geran RM3j masih belum dilunaskan MFL kepada setiap 12 pasukan Liga Super manakala RM1j buat setiap 11 pasukan Liga Perdana.

Mendedahkan perkara itu, MFL sedang dalam perbincangan peringkat akhir melibatkan beberapa penaja untuk dimuktamadkan.

Kevin, bagaimanapun, tidak dapat memberikan tarikh tepat bilakah geran tersebut dapat disalurkan kepada persatuan dan juga kelab.

"Tiada tarikh tetap lagi. Saya telah bertemu dengan pasukan-pasukan Liga Malaysia dan menerangkan mengenai perbincangan yang sedang dilakukan," katanya.

Adalah tidak mustahil jumlah yang dijanjikan mungkin berkurangan berikutan pihak MFL sendiri masih dalam usaha mengumpul penajaan tatkala aksi liga sudah pun menghampiri penghujung aksi pusingan pertama.

"Segalanya bergantung kepada kontrak yang bakal ditandatangani oleh syarikat yang menaja saingan ini selepas mencapai persetujuan yang dilakukan penghujung tahun lalu," jelasnya lagi.