Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bakal mencapai kata sepakat menerusi perbincangan pada pertengahan bulan depan untuk menetapkan mekanisme pemilihan bagi mengisi slot kedua Piala AFC 2021.

Tidak hairan ada jurulatih Liga Malaysia (Liga-M) masih buntu dengan penetapan daripada penganjur liga tempatan itu berhubung slot kedua Piala AFC musim depan.

Keputusan itu hanya akan diketahui pertengahan bulan depan sebaik kata sepakat dicapai dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah MFL yang bakal berlangsung.

"Kami ada (pelantar) Liga Super, Piala FA untuk menentukan satu lagi tempat (ke Piala AFC)," kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ghani Hassan, ketika dihubungi hari ini.

Dalam masa yang sama, MFL juga masih menunggu surat pengesahan daripada Konfiderasi Bolasepak Asia (AFC) yang akan melalui badan induk Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Ia masih lagi di peringkat perancangan AFC dan belum dimaklumkan kepada FAM lagi.

"Sebaik ada pengumuman rasmi (daripada AFC), kami akan bertindak."

Untuk saingan musim 2021, AFC difahamkan telah menawarkan dua slot bagi saingan Piala AFC selain satu slot untuk Liga Juara-Juara Asia (ACL).



Editor: Shaiful Shamsudin