Ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, mengakui pasukannya tiada pilihan selain bangkit daripada prestasi buruk bagi menamatkan kemarau kemenangan dalam pertemuan menentang Kedah di Stadium Hang Jebat, malam esok.

Melaka, yang dilabel sebagai pasukan pilihan awal musim ini, semakin dicengkam `krisis kemerosotan prestasi setelah gagal mencatat sebarang kemenangan sejak 3 Mac lalu.

Ia menyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin itu tewas tiga daripada empat perlawanan liga terakhir selain turut tersingkir dalam pusingan kedua Piala FA.

Keadaan itu pasti akan menjadi lebih buruk andai mereka terus ditimpa kekalahan dalam aksi menentang Kedah berkenaan.

"Mentaliti perlu diubah, disiplin kena tinggi dan perkara paling ketara dalam pasukan ini adalah melepaskan peluang-peluang keemasan dan memberikan gol-gol mudah.

"Itulah dua penyakit yang perlu diubati dengan segera jika tidak, ia sememangnya perit.

"Saya berharap semua pemain sudah mengetahui memandangkan analisis sudah dibuat dan sesuatu yang baik akan terhasil malam esok," katanya.

Pertemuan di Stadium Hang Jebat itu juga penting buat penyerang import, Casagrande, bagi membuktikan kemampuan sebenarnya selepas hanya menyumbat satu gol musim ini.

Dalam situasi tertekan yang dialami skuad Melaka itu, pengalaman pemain seperti Shukor Adan, Safiq Rahim dan Khairul Fahmi Che Mat pastinya ditagih untuk melaksanakan misi meraih tiga mata penuh.

"Saya lebih menekankan kepada pasukan kerana prestasi pasukan lebih penting.

"Saya berharap bukan sahaja pemain import tetapi semua sekali dapat memperbaiki prestasi dan mempamerkan peningkatan," tambahnya.