Hajat juara Piala FA 2018, Pahang, untuk menamatkan kempen Liga Super selaku naib juara tampak terjejas selepas sekadar mencatat keputusan seri 2-2 dengan Melaka di tempat lawan, semalam.

Tumpuan aksi di Stadium Hang Jebat itu nyata terarah kepada skuad Tok Gajah yang bersaing untuk merebut kedudukan nombor dua liga bersama beberapa pasukan lain.

Pelawat bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelapan susulan hantaran Zuhair Aizat Nazri disudahkan dengan kemas oleh Issey Nakajima, namun pendahuluan itu tidak bertahan lama setelah tuan rumah menyamakan kedudukan menerusi jaringan R. Gopinathan, tujuh minit kemudian.

Bekas pemain Pahang itu terus bertindak cemerlang, kali ini melepasi perangkap ofsaid pasukan bimbingan Dollah Salleh itu untuk memastikan jaringan kedua skuad bimbingan E. Elavarasan itu menerusi Yahor Zubobich pada minit ke-25.

Bagaimanapun, ketika aksi babak pertama hampir berkesudahan 2-1 memihak Melaka, Austin Amutu menyumbat jaringan untuk menjadikan aksi kembali seimbang pada minit ke-45, membolehkan anak-anak buah Dollah mengikat kedudukan 2-2.

Bagaimanapun, gawang skuad pelawat nyaris bocor sebaik sahaja aksi babak kedua bersambung, mujur penjaga gol, Helmi Eliza Elias, tangkas menafikan percubaan Ifedayo Omosuyi.

Lima minit sebelum wisel penamat, pemain gantian, Faisal Halim, hampir menghadiahkan kemenangan buat Tok Gajah, namun gagal memanfaatkan peluang terhidang ketika Khairul Fahmi Che Mat tampak sudah tertewas dan kedudukan 2-2 kekal sehingga wisel penamat.

"Dalam babak pertama, segalanya tampak baik walaupun ketinggalan satu gol tetapi jaringan penyamaan telah memberikan Pahang semangat untuk bermain dengan lebih bagus," kata Elavarasan.

"Kami menguasai perlawanan, cuma terleka dalam beberapa minit kerana Melaka menerapkan teknik serangan balas untuk mendapatkan dua gol," ujar Dollah.