Melaka, Kelantan, Sarawak terlepas denda pemotongan tiga mata

Oleh Bernama 24 Mei 2019 400
Melaka, Kelantan, Sarawak terlepas denda pemotongan tiga mata
Pasukan Liga Super Melaka serta dua pasukan Liga Perdana, Kelantan dan Sarawak, tidak akan dikenakan denda pemotongan tiga mata selepas ketiga-tiga pasukan tersebut mengemukakan dokumen kewangan seperti diperlukan.

MFL dalam kenyataan hari ini turut mengesahkan hukuman sekatan perpindahan pemain pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga-M) berakhir 29 Mei ini terhadap Kelantan dan Sarawak adalah kekal, namun dibenarkan mendaftar seorang pemain dengan bersyarat.

Syarat dikenakan MFL adalah kedua-dua pasukan itu harus membuktikan pendaftaran pemain baharu tersebut tidak melebihi perbelanjaan yang perlu ditanggung, apabila menggugurkan pemain.

“Inilah matlamat MFL untuk mendidik pasukan dan memastikan kepatuhan terhadap peraturan kami dan ia bukan untuk menghukum mana-mana pasukan. Dengan mengambil kira usaha dilakukan Kelantan dan Sarawak, selain mengambil kira aspek kesukanan, mereka dibenarkan mendaftarkan seorang pemain.

“Tetapi pasukan​​​​​​ harus terlebih dahulu membuktikan kepada MFL bahawa terdapat kesan aliran tunai yang positif terhadap kewangan pasukan, di mana pendaftaran pemain baharu itu tidak melebihi perbelanjaan pemain yang digugurkan,” kata kenyataan tersebut.

Terdahulu, MFL turut mengurangkan hukuman pemotongan 50 peratus daripada jumlah geran tahunan kepada hanya lima dan 10 peratus terhadap tujuh pasukan.

Pengurangan hukuman itu menyaksikan dua pasukan Liga Super -- Kuala Lumpur dan Felda United serta dua pasukan Liga Perdana, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pulau Pinang menerima 95 peratus daripada jumlah keseluruhan geran tahunan.

Melaka, Kelantan dan Sarawak pula dikurangkan 10 peratus, menjadikan mereka hanya menerima 90 peratus daripada jumlah geran.

Nilai geran tahunan diperuntukkan kepada setiap pasukan Liga Super adalah RM3 juta manakala bagi Liga Perdana sebanyak RM1 juta.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen