Melaka bakal menurunkan kesebelasan utama menentang Kuala Lumpur dalam misi meraih kemenangan ketujuh liga dalam aksi yang akan berlangsung di Stadium KLFA, malam ini.

Melaka, yang kini berada di kedudukan keenam, meletakkan sasaran meraih kemenangan ke atas The City Boys itu dengan misi utama menempatkan diri dalam kelompok empat teratas saingan Liga Super.

Ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan, lega mampu menurunkan kesebelasan utama menentang Kuala Lumpur selepas kembalinya dua tonggak yang mengalami kecederaan ketika bertemu Terengganu, minggu lalu.

"Tiada penggantungan tetapi kecederaan dialami beberapa pemain dalam perlawanan sebelum ini tetapi sudah pulih dan bersedia menghadapi perlawanan seterusnya. Melaka menjanjikan persembahan terbaik ketika berdepan Kuala Lumpur," katanya.

Dalam masa sama, Zainal mahu anak buahnya tidak memperlekehkan Kuala Lumpur yang kini berada di kedudukan tiga tercorot liga dengan dia menuntut fokus penuh daripada pemain-pemainnya.

Sebelum ini, hasrat Melaka untuk mencipta kemenangan di laman sendiri minggu lalu tidak kesampaian selepas diikat Terengganu 3-3 walaupun sudah mendahului dengan selesa.

"Penting buat Melaka meraih mata kerana kehilangan mata dalam perlawanan sebelum ini. Saya berharap pemain-pemain fokus dan berdisiplin ketika berdepan Kuala Lumpur."