Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid, berasakan ia terlalu awal untuk membincangkan cadangan menjadikan kelab itu sebagai kelab sokongan kepada Selangor bagi musim depan.

Cadangan untuk menjadikan PKNS sebagai pasukan sokongan musim depan sebelum ini dilontarkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda dan Sukan Selangor, Amirudin Shari.

Bagi Mahfizul, mungkin ketika ini lebih baik untuk memberi ruang buat Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melalui tempoh peralihan kuasa presidennya terlebih dulu dengan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Sharafuddin Idris Shah, dijangka disahkan sebagai presiden bulan depan.

"Mengenai perkara itu, masih terlalu awal untuk dibincangkan. Ia akan dijalankan selepas presiden baru FAS dilantik," kata Mahfizul.

Sementara itu, pemerhati bola sepak tempatan, Asmawi Bakiri, pula berasakan PKNS sejak dari era 70-an adalah kelab sokongan buat skuad Selangor.

Asmawi juga percaya jika PKNS kembali sebagai pasukan sokongan Selangor, ia akan turut memberi kesan positif buat perkembangan bola sepak Selangor.

"Saya mengambil ia sebagai satu langkah yang positif untuk meningkatkan semula mutu bola sepak Selangor," katanya.