"Saya tidak tahu bagaimana hendak meraikan jaringan itu."

Demikian reaksi pertahanan Pahang, Herold Goulon, selepas muncul penjaring tunggal yang sudah cukup untuk memberikan Pahang tiga mata ketika berdepan Perak di Ipoh, malam tadi.


Goulon atau lebih mesra disapa Mark tidak menyangka percubaannya itu menjadi satu-satunya gol yang terhasil di Stadium Perak.

Ia berlaku terlalu pantas dan Mark ketika itu tidak menyangka jaringan berkenaan akan menjadi cukup bermakna buat Pahang.

"Bola itu datang kepada saya dan saya hanya mencuba untuk melakukan percubaan.

"Secara jujurnya, saya tidak sangka ia akan masuk kerana saya hanya mencuba untuk melakukan percubaan tepat.

"Ketika saya jatuh ke lantai, saya tidak tahu apa yang sedang berlaku.

"Apabila saya bangun, saya menyedari ia telah masuk ke gawang dan saya tidak tahu bagaimana untuk meraikannya, jadi saya hanya berlari," katanya dalam keadaan tergelak.

Ia merupakan jaringan kedua peribadi Mark sepanjang menyarung jersi Pahang.

Tegas pemain yang berketinggian 192 sentimeter itu, aksi di Stadium Perak amat sukar ekoran kepenatan daripada dua aksi di laman lawan yang dilalui sebelum ini.

Ia juga menjadi punca mengapa Pahang terlalu sukar untuk meledak jaringan walaupun memiliki pelbagai peluang terhidang.

"Ia minggu yang sukar.

"Kami tidak pulang ke rumah dalam tempoh seminggu.

"Kami melalui perlawanan-perlawanan yang sukar dan ia memerlukan banyak tenaga.

"Kami turut kehilangan (Dickson) Nwakaeme dalam perlawanan ini.

"Ia mengakibatkan kami gagal menguasai perlawanan dan 20 minit pertama sememangnya terlalu sukar.

"Kami kemudian menguasai perlawanan dan memperoleh banyak peluang untuk menjaringkan gol," tambahnya.