Kesinambungan formasi 3-4-3 Selangor berterusan dengan ketajaman penyudah tetapi pada masa sama, menyerlahkan kelemahan The Red Giants ketika mengatasi T-Team 4-2 di Selayang, malam tadi.

Dalam aksi Liga Super itu, dua jaringan dalam tempoh dua minit bermula pada minit ke-53 memadai untuk menceritakan bagaimana Selangor berupaya mengambil kesempatan atas kelebihan jentera serangan mereka.

Malah, formasi ini sesuai buat pemain sayap seperti Syahmi Safari untuk menyerlahkan kemampuannya dalam menjana dan menyempurnakan peluang Selangor.

Selain dua jaringan Syahmi dan satu milik Francis Forkey Doe, dua import baru mereka, Rufino Segovia, juga tidak ketinggalan dalam menyumbangkan gol yang berpunca daripada tempo serangan balas pantas.

"Kami mencipta beberapa peluang gol tetapi penyudah kurang menyengat.

"Kami bangkit pada separuh masa kedua dengan baik dan usaha kami boleh dilihat apabila kami mencipta dan menyudahkan peluang," kata jurulatih Selangor, P. Maniam.

Tetapi, pada masa sama, mutu pertahanan Selangor menjadi tanda tanya apabila melepaskan dua gol mudah.

Gol pertama berpunca daripada kekalutan benteng yang disudahkan oleh Dilshod Sharofetdinov dan satu lagi hasil sepakan penalti pada lewat permainan yang disempurnakan oleh Yannick N'Djeng.

"Benteng kami tidak cukup ampuh, kami perlu memperbaikinya.

"Barisan pemain, terutama Amri Yahyah, Rufino dan beberapa pemain senior lain beraksi begitu baik.

"Malah, Adam Norazlin yang diletakkan sebagai pertahanan tengah sangat efektif.

"Kemenangan ini akan melonjakkan keyakinan pemain untuk mengharungi Piala Malaysia dengan baik selepas ini."