Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, menjelaskan tiada kepastian mengenai pengambilan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Mahali Jasuli, bersama skuad Warga Kota itu sebelum jendela perpindahan pertama Liga Malaysia ditutup bulan depan.

Sebelum ini, pengendali Kuala Lumpur, Fabio Joaquim Maciel da Silva, mengakui berminat untuk mendapatkan pemain sayap itu bagi menguatkan skuadnya.

Namun, Nokman berkata ia adalah pandangan peribadi jurulatih itu sedangkan KLFA perlu memikirkan beberapa faktor lain dalam penambahan pemain, termasuk kos.

"Kami perlu ada bajet yang baik untuk mengambil Mahali. Buat masa ini, kami tidak akan mengambilnya.

"Kami akan mengekalkan pemain yang sedia ada dan mungkin dalam jendela perpindahan kedua nanti, kami akan ambil kalau dia sedia," katanya.

Dalam pada itu, walaupun mengakui KLFA mahu mendapatkan khidmat bek kiri skuad bawah 23 tahun negara, Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak, Nokman menjelaskan pemain itu perlu mendapat pengesahan daripada pihak pengurusan JDT II mengenai kedudukannya.

Syazwan sebelum ini bersama JDT II dalam saingan Liga Perdana dan KLFA akan hanya menandatangani pemain itu jika sah pasukan dari selatan itu tidak lagi memerlukan khidmatnya.

"Saya minta Syazwan selesaikan dahulu perkara ini. Nanti membebankan kami pula kalau ada perkara yang tidak berapa baik di antara kami dan JDT II. JDT II lepaskan barulah kami ambil," katanya lagi.