Meskipun sudah menikmati pelbagai kejayaan di pentas Liga Malaysia (Liga-M), Mahali Jasuli tetap mendahagakan kejuaraan bersama pasukan barunya, Petaling Jaya City FC.

Pemain yang dikenali sebagai bek kanan serba boleh itu pernah memenangi setiap kejuaraan tertinggi di peringkat domestik sewaktu bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Musim lalu, dia berhijrah ke PKNS FC, yang kini dijenamakan semula sebagai Selangor II.

Meskipun disunting beberapa pasukan, Mahali berkongsi faktor utama mengapa dia memilih PJ City.

"Terus terang, saya masih dahagakan kejayaan dan masih belum puas dengan kejayaan dalam Liga Malaysia.

"Memang sasaran saya adalah untuk mencapai sebanyak mungkin kejuaraan dalam Liga Malaysia," katanya.

Mahali antara limpahan muka baru dalam skuad PJ City, yang turut menyambar khidmat bintang muda seperti R. Kogileswaran.

Tetapi menyertai skuad kendalian K. Devan itu juga ibarat pertemuan semula dengan beberapa graduan skuad Harimau Muda yang seangkatan dengannya seperti K. Gurusamy dan Amer Saidin.

"Apabila PKNS sudah sah menjadi Selangor II, saya perlu mencari pasukan baru.

"Disebabkan itu juga, saya sedikit lewat dalam menemui pasukan.

"PJ City mempunya visi dan misi yang jelas untuk saingan liga musim ini.

"Jadi, saya rasa ia peluang yang baik untuk saya mencapai sekurang-kurangnya sasaran yang diletakkan pasukan ini," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa