Magrao: Kuala Lumpur harus teruskan momentum kemenangan

Oleh Staff Writer 24 Februari 2018 2970
Magrao: Kuala Lumpur harus teruskan momentum kemenangan
Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Magrao, mahu pemain tidak lagi terbuai dengan memori kemenangan ke atas Johor Darul Ta'zim (JDT) kerana dibimbangi akan membuatkan mereka berasa terlalu yakin untuk menghadapi PKNP FC dalam Liga Super di Stadium Negeri, Batu Kawan, esok.

Kejayaan mengatasi JDT 1-0 sudah menjadi satu sejarah dan Magrao mahu pemainnya memandang ke depan, apatah lagi PKNP sebuah pasukan yang sukar dijinakkan.

Dua pertemuan lalu sesama mereka dalam Liga Perdana bakal menceritakan aksi esok pasti berlangsung sengit.

Magrao berkata tiga mata yang diraih daripada tiga perlawanan lalu masih belum cukup jika mahu keluar dari kelompok bawahan liga.

"Kami belajar daripada kesilapan lalu. Kami bermain baik tetapi tewas dua perlawanan sebelum ini. Dan, sudah tentu selepas menewaskan pasukan seperti JDT, ia memberikan keyakinan kepada pemain tetapi ia sudah menjadi sejarah.

"Jadi, setiap hari kami perlu mempersiapkan pasukan dengan baik untuk berdepan mana-mana pasukan," katanya.

Sementara itu, PKNP pula mendapat semula sentuhan penyerang terbaik Liga Malaysia musim lalu, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi 

Shahrel pulih sepenuhnya daripada kecederaan buku lali selain turut hadir dengan semangat berbeza apabila baru mengikat tali pertunangan sebelum tiba di Pulau Pinang.

"Sudah empat bulan tidak bermain. Jadi, saya begitu bersemangat untuk beraksi dalam perlawanan ini.

"Saya sudah lama menanam impian untuk bermain dalam Liga Super, jadi saya akan melakukan yang terbaik esok.

"Alhamdulillah, saya baru selesai bertunang dan ia memberikan saya lebih semangat untuk beraksi selepas ini," katanya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen