Selepas lega dapat memastikan pasukannya mengekalkan status dalam Liga Super, pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, mahu memberi tumpuan kepada kempen Piala Malaysia sebelum memikirkan perancangan masa depan.

Ini merupakan musim kedua jurulatih kelahiran Brazil itu bersama Kuala Lumpur selepas membantu pasukan itu bersaing dalam kancah Liga Super musim ini.

Begitupun, cabaran mereka dalam Liga Super penuh berliku sehingga bergelut dalam zon penyingkiran.

Maciel, yang mempunyai kontrak sehingga November ini, ingin melaksanakan tugas sebaik mungkin dengan membantu The City Boys meraih pencapaian lebih baik dalam saingan Piala Malaysia nanti.

"Saya sedar ini bukan tugas mudah.

"Baik di dalam mahupun di luar pasukan, akan ada orang yang memberi sokongan dan tidak suka dengan anda. Ini adalah normal di mana-mana sekalipun.

"Saya ada mendapat beberapa tawaran lain seperti di Thailand pada bulan lalu dan saya menolaknya.

"Saya tahu apabila menggalas sesuatu tugas, saya perlu mematuhinya sehingga kontrak berakhir," kata Maciel sejurus kejayaan membenam Negeri Sembilan 2-1 dalam aksi Liga Super malam tadi hadir pada lewat permainan.

Dalam perkembangan berasingan, pengendali Negeri Sembilan, Mario Lemos, mengakui pemainnya lebih tertekan dalam aksi ini kerana kegagalan meraih mata penuh menyebabkan skuad Jang tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Malah, kecederaan yang dialami tonggak import, Nicolas Leandro Velez, ketika bertemu Selangor tempoh hari turut memaksa Lemos membuat percaturan berbeza.

"Kami tidak begitu bernasib baik dengan kecederaan pada saat genting.

"Velez berupaya menjana gerakan kreatif di bahagian serangan.

"Sebelum perlawanan, dia memaklumkan tidak dapat beraksi dan saya tidak boleh memaksanya," kata Lemos.