Walaupun sudah mengesahkan tempat dalam kempen Liga Super musim depan, Kuala Lumpur tetap mahu menamatkan saingan liga musim 2018 dengan keputusan positif menjelang aksi terakhir berdepan juara, Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, esok.

Kuala Lumpur bertandang ke Johor tanpa kelibat penyerang import, Guillherme De Paula, yang mengalami kecederaan sambil tonggak veteran, Indra Putra Mahayuddin, digantung satu perlawanan susulan kutipan tiga kad kuning.

Bagaimanapun, pengendali skuad Warga Kota itu, Fabio Maciel, tetap yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya yang diketuai oleh Zaquan Adha Abdul Radzak bagi mendapatkan keputusan positif untuk menutup tirai saingan Liga Super 2018.

"Ya, saya mempunyai beberapa pemain yang mampu membantu barisan serangan. Saya rasa kami mampu melakukannya berlandaskan pemikiran dan taktikal yang dipertaruhkan.

"Kami sedar JDT adalah pasukan yang bagus tetapi kami akan cuba mempamerkan aksi terbaik," ujar Maciel.

Misi utama Kuala Lumpur kini adalah menempatkan diri dalam kumpulan kedua bagi undian saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung pada Isnin ini dan mereka berhasrat meraih sekurang-kurangnya satu mata di Larkin sambil mengharapkan pesaing terdekat serta seteru utama, Selangor, tewas di tangan Terengganu.

"Melihat kedudukan dalam carta, ia bagus buat pasukan.

"Sejak dinaikkan ke Liga Super, saya sering mengingatkan pemain-pemain agar mengekalkan tempat dalam saingan," tambahnya.