Jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, berminat mendapatkan khidmat bekas pemain kebangsaan yang kini beraksi bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), Mahali Jasuli, bagi
memperkuatkan cabaran skuad Warga Kota itu sebelum jendela perpindahan pemain ditutup pada 11 Februari.


Kontrak Mahali difahamkan tidak lagi disambung JDT, lantas membuka ruang mana-mana pasukan mendapatkan khidmatnya.

Menurut Maciel, beliau cukup mengenali kemampuan Mahali ketika beraksi bersama pasukan kebangsaan dan menjelaskan pihak pengurusan sedang dalam proses rundingan untuk mendapatkan khidmat bekas pemain Selangor itu.

"Dia seorang pemain yang berkualiti, saya mengenalinya sejak mengendalikan Timor Leste. Kehadiran Mahali disambut baik dan kami akan berusaha mendapatkan khidmatnya," katanya.

Maciel juga mengumumkan pemain sayap kiri skuad B-23 negara, Syazwan Andik Mohd Ishak, semakin pasti ke Kuala Lumpur selain masih menunggu kata putus pemain pertahanan, Adib Zainudin.

"Saya sangat berminat dengan kedua-dua pemain ini. Kedua-duanya memiliki kontrak bersama pasukan masing-masing sebelum ini," ujarnya.

Barisan pemain Kuala Lumpur 2018 diperkenalkan dalam majlis pelancaran jersi pasukan yang dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor, semalam.