Kegagalan benteng pertahanan untuk berfungsi dengan baik sekali lagi mengundang persoalan buat pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, selepas pasukannya tewas 5-1 kepada Perak dalam aksi Liga Super, semalam.

Kuala Lumpur menerima kunjungan Perak di Stadium KLFA, Cheras dengan harapan tinggi untuk memastikan lawan tidak membawa pulang mata penuh.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan apabila gawang skuad warga kota itu dibolosi tiga kali dalam tempoh 16 minit perlawanan.

Meskipun mula menemui rentak selepas itu, mereka gagal menyaingi Perak hingga terpaksa akur dengan kekalahan dan kini Maciel mengharapkan anak didiknya dapat segera bangkit dalam aksi berikutnya berdepan Negeri Sembilan.

"Saya tidak memikirkan mengenai penyingkiran tetapi kami perlu menampilkan aksi terbaik untuk perlawanan akan datang bagi memastikan kekal dalam Liga Super," kata Maciel.

Sementara itu, pengendali Perak, Mehmet Durakovic, menganggap pemain pasukannya menunjukkan perwatakan sebenar yang diharapkan untuk memastikan skuad The Bos Gaurus membawa pulang tiga mata penuh.

Lantas, Perak kini berada di kedudukan yang selesa untuk memastikan mereka dapat menamatkan saingan Liga Super selaku naib juara dengan baki dua lagi perlawanan.

"Sebagai jurulatih, saya mahu pasukan saya menampilkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan dan kami telah menampilkannya ketika berdepan Kuala Lumpur," kata Durakovic.