Pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, berasakan ia kurang adil jika badan pentadbir Liga Malaysia, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), mengambil tindakan memotong mata dalam Liga Super ke atas pasukannya kerana saingan liga sudah memasuki perlawanan ketiga.

Kuala Lumpur bakal berdepan hukuman pemotongan tiga mata kerana kegagalan melengkapkan dokumen pendaftaran.

Namun bagi Maciel, ia adalah masalah pengurusan dan percaya Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) sedang cuba menangani isu pendaftaran itu sebaik mungkin dengan FMLLP.

Maciel juga berharap sekiranya FMLLP mahu mengambil tindakan ke atas Kuala Lumpur, mereka mampu mempertimbangkan bentuk hukuman lain berbanding memotong mata.

"Mungkin hukuman boleh dikenakan dalam bentuk bayaran denda dan sebagainya. Bagi saya, pemotongan mata bukan satu cara yang tepat," katanya.

Semalam, FMLLP menyenaraikan KLFA dan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sebagai dua pasukan Liga Super yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran.

Kapten skuad The City Boys, Indra Putra Mahayuddin, turut senada dengan jurulatihnya itu.

"Pemotongan mata merupakan satu perkara yang tidak adil buat pemain kerana kami telah mempamerkan aksi terbaik di atas padang untuk mendapatkan mata. Tindakan itu boleh mengganggu moral pemain," ujarnya.