Maciel bakal turun Khatul Anuar berdepan Pahang

Oleh Staff Writer 11 April 2018 5624
Maciel bakal turun Khatul Anuar berdepan Pahang
Aksi merudum penjaga gol, Kamarul Effendi Abdul Rahim, ketika suku akhir pertama Piala FA, Sabtu lalu, menyaksikan pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel, bakal menurunkan Khatul Anuar Abdul Jalil untuk aksi berdepan Pahang dalam Liga Super, Ahad ini.

Bagi Maciel, bekas penjaga gol Harimau Muda C itu kini sudah bersedia untuk tugasan selaku penjaga gol utama.

Meskipun Khatul Anuar melepaskan satu gol ketika tewas 3-0 kepada Selangor, Sabtu lalu, Maciel tetap berpuas hati dengan penampilan sulung pemain itu yang masuk menggantikan Kamarul dalam perlawanan tersebut.

"Khatul masuk untuk membuat penampilan pertama dalam pertembungan jiran setempat yang istimewa.

"Dia bermain hebat dan saya sangat gembira dengan prestasinya. Dia lakukan seperti dirancang dalam latihan," kata Maciel.

Khatul Anuar musim lalu hanya bersama skuad Piala Presiden Kuala Lumpur, namun menjadi pilihan ketiga skuad Warga Kota musim ini.

Dengan pilihan kedua, Solihin Mamat, masih beransur pulih daripada kecederaan, Khatul Anuar kini berpeluang turun selaku pilihan utama berdepan Pahang.

Pemain kelahiran Kedah itu juga bersedia untuk berdepan skuad Tok Gajah di Kuantan.

"Jurulatih sudah memberi kepercayaan kepada saya. Jadi, saya perlu tunjukkan semula apa yang dinilai sebelum ini.

"Saya akan buat yang terbaik dalam aksi menentang Pahang. Dalam minggu ini, kami memang membuat persediaan rapi dalam aspek pertahanan. Jadi, saya harap ia akan berjalan lancar," kata Khatul Anuar lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen