Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Raul Longhi, mempertahankan aksi hambar penyerang import baru skuad Harimau Selatan, Fernando Marquez, walaupun pasukannya berhempas-pulas mengutip tiga mata ketika berdepan Pahang dalam Liga Super di Larkin, malam tadi.

Penggempur dari Argentina itu memiliki dua kesempatan terbaik untuk merobek gawang pelawat, namun kedua-duanya gagal dimanfaatkannya.

Begitupun, lorongannya kepada Harris Harun menjadi pencetus kepada gol tunggal perlawanan.

Namun, situasi itu tidak mendatangkan panik buat Longhi, apabila berkata: "Adalah normal apabila penyerang berdepan detik baik atau tidak.

"Apa yang penting, dia mencipta peluang. Cuma pada hari ini (malam tadi), dia gagal melakukannya.

"Namun, dia pasti menjaringkan gol dalam perlawanan akan datang."

Sementara itu, bagi skuad Pahang bimbingan Dollah Salleh, kekalahan ini pasti mengecewakan mereka selepas pertemuan terakhir memihak kepada mereka 3-0 dalam aksi suku akhir Piala FA, April lalu.

Layangan kad merah ke atas Safuwan Baharudin tambah menyulitkan usaha mereka untuk bangkit.

"Seperti biasa, kami mengharapkan kemenangan untuk mengurangkan jurang kelebihan dengan JDT.

"Kami mahu menjamin kedudukan kedua Liga Super," kata pertahanan Tok Gajah, Matthew Davies.