"Saya lebih suka mereka bersama saya," itu reaksi pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Raul Longhi, yang nampaknya berat hati untuk melepaskan tujuh pemainnya bagi menyahut panggilan skuad B-23 negara hujung bulan ini.

Umpama seorang bapa merisaukan keselamatan anak-anaknya -- itulah yang boleh disimpulkan di sebalik reaksi Longhi merujuk kepada kelibat tujuh pemainnya yang akan bersama dengan skuad Datuk Ong Kim Swee menjelang saingan Sukan Asia, bulan depan.

Bagaimanapun, kerisauan Longhi bertempat -- ia tidak bermaksud halangan daripada jurulatih itu yang mengetahui ia menjadi kebanggaan mana-mana pemain jika berpeluang menyarung jersi negara.

"Saya lebih gembira jika pemain-pemain ini kekal bersama JDT. Tetapi khidmat bersama skuad kebangsaan adalah satu penghormatan dan kebanggaan buat mereka," kata Longhi.

Sementara itu, pertahanan JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak, yang akan mengetuai barisan pemain JDT melapor diri di Wisma FAM 30 Julai ini, mengakui terkejut selepas namanya turut tersenarai.

Kali terakhir Aidil bersama skuad B-23 negara ialah ketika kempen Sukan Asia Incheon, Korea Selatan empat tahun lalu.

Ini merupakan panggilan kali pertama di bawah kendalian Kim Swee selepas pemain itu mengumumkan persaraan pada 2016, beberapa bulan sebelum saingan Piala AFF di bawah kendalian jurulatih yang sama.

"Sedikit-sebanyak saya akan berusaha untuk membantu pasukan dengan pengalaman saya. Saya berharap rakan sepasukan lain juga perlu mempamerkan aksi cemerlang ketika beraksi nanti," kata Aidil.