Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT) Raul Longhi, berharap dapat menutup tirai Liga Super 2018 dengan mencapai satu lagi kemenangan apabila pasukan itu menentang Kuala Lumpur di Stadium Larkin, pada Sabtu.

Longhi berkata beliau amat gembira dengan prestasi skuad Harimau Selatan itu dalam aksi mereka musim ini apabila memenangi 18 perlawanan, dua seri dan kalah sekali setelah mengharungi 21 perlawanan.

JDT melakar kemenangan terbarunya malam tadi apabila mengetepikan pasukan dari Perak, PKNP FC, 2-1 di Stadium Perak.

“Pencapaian kami dalam Liga Super Malaysia musim ini sungguh luar biasa,” katanya yang dipetik daripada laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers.

Menyentuh perlawanan pasukan itu menentang PKNP FC, Longhi berkata beliau membuat keputusan memberi peluang kepada beberapa pemain untuk beraksi seperti Adam Nor Azlin, Aidil Zafuan Abd Radzak, Kiko Insa, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Safiq Rahim dan Izham Tarmizi memandangkan mereka telah direhatkan sebelum itu.

“Kami beri peluang kepada mereka untuk bermain kerana beberapa pemain mengalami keletihan, terutama selepas baru sahaja menentang Kelantan, mereka terlibat pula dengan acara meraikan kejayaan sebagai juara dan selepas itu perlu membuat perjalanan ke Perak,” kata Longhi, yang amat gembira dengan kemenangan yang dicapai pasukan itu dalam pertemuan mereka dengan pasukan tuan rumah.

JDT mengekalkan gelaran juara Liga Super bagi tahun kelima berturut-turut sejak 2014 apabila mereka mengalahkan Perak 2-1 di Stadium Perak pada 10 Julai lalu.

-- BERNAMA