"Tindakan Aidil bijak," itu reaksi jurulatih Johor Darul Ta'zim, (JDT), Raul Longhi, yang memuji tindakan pertahanan, Aidil Zafuan Abd Radzak, yang memastikan tiada jaringan terhasil daripada Terengganu FC (TFC) biarpun menyedari tindakannya itu memberi risiko besar untuknya.

Aidil ibarat mengorbankan peluang untuknya beraksi dalam perlawanan seterusnya selepas mengasari pemain TFC semalam demi mengelak sebarang jaringan terhasil daripada pasukan pelawat.

Bagi Longhi, tindakan Aidil itu dianggap bijak walaupun ia memberikan kesan kepada pemain berpengalaman itu.

"Ia adalah tindakan yang bijak tetapi memberikan risiko kepada pasukan untuk dibolosi kerana beraksi dengan 10 pemain tetapi JDT bermain dengan cemerlang dan memastikan kemenangan berjaya diraih," katanya.

Longhi ternyata berpuas hati dengan prestasi anak buahnya.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu terlalu memikirkan dua kemenangan akan datang untuk JDT sekali lagi menjulang trofi Liga Super tahun ini.

"Kami perlu memastikan pemain-pemain kembali cergas untuk aksi seterusnya berdepan Melaka," ujarnya.

JDT merakamkan kemenangan 2-0 ke atas TFC dalam aksi yang berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin.

Imej: Asiana