Potensi dipamer sebahagian besar pemain muda menjadi resipi kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) menjulang kejuaraan Liga Super buat kali kelima berturut-turut.

Jurulatihnya, Raul Longhi, mengakui kekuatan JDT musim ini banyak didukung pemain muda seperti Safawi Rasid dan Muhamad Nazmi Faiz Mansor tanpa mengharap kudrat import 100 peratus.

Hakikat itu jelas terbukti apabila mereka berdua menjadi tunjang kemenangan 2-1 JDT ke atas Perak di Ipoh, semalam.

"Saya kenal Safawi yang tiba dari Terengganu, Saya kenal Nazmi dan saya kenal pemain muda tempatan. Inilah pemain masa depan untuk JDT. Mereka adalah pemain baik yang mempunyai mentaliti yang bagus," katanya.

Tambah manis buat Longhi, beliau berjaya membuktikan kredibilitinya walaupun hanya hadir selaku pemangku jurulatih selepas Ulisses Morais meletakkan jawatan Februari lalu.

"Saya bekerja keras setiap hari dan dalam setiap perlawanan. Saya memberi sokongan kepada pemain muda dan meningkatkan keyakinan pemain import.

"Saya rasa itu yang penting. Saya akan cuba tingkatkan prestasi dan gaya permainan kami," katanya lagi.

Sementara itu, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic, mengucapkan tahniah kepada JDT kerana mempunyai skuad penuh berkualiti sambil menegaskan mereka masih dalam fokus memburu kedudukan naib juara Liga Super.

"Saya tidak sabar untuk menghadapi perlawanan akan datang. Ia bukan perlawanan mudah menentang JDT.

"Tetapi kami juga pasukan baik dan boleh bermain dengan baik. Ya, ini bukan hari kami," katanya.