Pemerhati bola sepak negara, Hasnizam Uzir, percaya pengalaman luas yang dimiliki Raul Longhi bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) mampu memastikan pasukan itu tidak terkesan dengan peletakan jawatan Ulisses Morais, semalam.

Pasukan JDT menerusi kenyataan di laman media sosial mereka hari ini mengumumkan Longhi sebagai jurulatih sementara susulan tindakan Morais melepaskan jawatan secara mengejut.

Faktor kepada pemilihan bekas pembantu jurulatih skuad Harimau Selatan untuk memangku tugas itu adalah berdasarkan pengalamannya sebagai jurulatih sementara di kelab Espanyol dan kudrat selama tiga tahun bersama JDT.

"Bagi saya, Longhi tidak akan berdepan masalah kerana dia sudah memahami corak pemain-pemain JDT memandangkan dia sudah bersama pasukan dalam tempoh yang lama. Dia juga mengetahui bagaimana untuk menyusun strategi dan taktikal bagi menghadapi setiap perlawanan," katanya.

Sementara itu, Hasnizam percaya keputusan mengejut Morais meninggalkan JDT tidak akan memberi kesan besar kepada pasukan itu untuk meneruskan cabaran musim ini.

Morais menyatakan masalah kesihatan keluarga sebagai antara punca utama peletakan jawatannya.