Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi, melaungkan rasa bangga kerana menjadi sebahagian daripada sejarah pasukan itu selepas mencipta rekod baru dalam pungutan mata tertinggi sejak bergelar juara Liga Super dari tahun 2014 apabila menutup saingan musim ini dengan 59 mata.

Rekod sebelum ini adalah 58 mata, iaitu pada tahun 2016, walaupun pada musim itu mereka tidak tewas dalam sebarang perlawanan.

Kejayaan 2-0 mengatasi Kuala Lumpur malam tadi hasil dua jaringan Fernando Marquez menjadikan 2018 sebagai tahun paling cemerlang buat JDT kerana menang dalam 19 daripada 22 perlawanan Liga Super.

Selain Marquez, kehadiran Fernando Elizari juga menjadi sebahagian rahsia mengapa JDT menjadi lawan yang begitu sukar ditewaskan sejak bermula pusingan kedua Liga Super.

“Kami sangat gembira kerana ia menjadi sejarah yang penting. Setiap perlawanan, kami cuba untuk menang.

“Pemain-pemain jelas dapat mengekalkan mentaliti mereka yang kuat,” katanya.

Bagi ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel, dia mengakui ketiadaan beberapa pemain utama membuatkan barisan depan kurang kreatif dalam cubaan untuk mengancam kubu JDT.

Menamatkan cabaran liga di tangga kesembilan, Maciel tetap berasakan Kuala Lumpur mengharungi kempen yang baik dalam musim sulung Liga Super selepas dinaikkan dari Liga Perdana.

“Kami pernah mempamerkan permainan terbaik ketika mengatasi JDT, Kedah, Terengganu dan PKNS FC tetapi kemudian kami menunjukkan persembahan yang terburuk.

“Jadi, tiada keseimbangan dan itu akan diperbaiki pada musim depan,” ujar Maciel.