Jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan, bersikap positif dengan kehadiran Liridon Krasniqi dalam pasukannya walaupun bekas pemain import Kedah itu dilabel sebagai pemain bermasalah dalam kancah Liga Malaysia (Liga-M).

Skuad Melaka membuat kejutan apabila mendapatkan khidmat Liridon pada ketika dia dikaitkan menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas dikatakan 'memungkiri janjinya' dengan Pahang.

Kehadiran Liridon, bagaimanapun, dianggap satu cabaran buat pengendali Melaka, Zainal Abidin Hassan, berikutan pemain dari Kosovo itu pernah terpalit dengan masalah disiplin.

Ia gara-gara tindakan kontroversinya mengecam bekas jurulatihnya, Nidzam Adzha Yusoff, ketika mewakili pasukan Lang Merah musim lalu.

"Setiap pemain mempunyai ciri-ciri peribadi yang tersendiri tetapi yang penting jurulatih dan pengurusan perlu (bijak) mengendalikan perkara-perkara seperti ini.

"Kita tidak boleh lari dengan hakikat ini.

"Saya harap Liridon akan menjadi pemain penting dan membantu pasukan," ujar Zainal.

Apapun, kelibat Liridon selaku pemain import terbaik Liga-M 2017 menguatkan lagi jentera tengah skuad Melaka yang sudah memiliki perancang tengah terbaik tempatan, Safiq Rahim.

"Mereka sememangnya tidak sabar untuk bergandingan.

"Kedua-duanya memberitahu saya bahawa mereka amat mengidamkan untuk beraksi bersama-sama. Ia amat mengharukan saya.

"Jadi, saya harap mereka dapat bermain baik di Melaka," tambahnya.


Kredit imej: Melakafa.blogspot.com