Pengurus pasukan Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang, mengakui wujudnya perbincangan di antara Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) dan berkas pemain tengah Kedah, Liridon Krasniqi, sebelum pemain itu dikhabarkan sudah menyertai pasukan lain bagi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019 yang akan bermula bulan depan.

Liridon, yang tidak dilanjutkan kontrak bersama Kedah, dikhabarkan memilih Pahang selepas menolak tawaran Perlis.

Namun, ketika dia hampir pasti menyarung jersi skuad Tok Gajah itu, pemain dari Kosovo bekenaan dikatakan telah disambar Johor Darul Ta'zim (JDT).

Ia susulan gambarnya bersama pemilik kelab itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, dimuat naik dalam laman media sosial miliknya, sekali gus memaksa Pahang melupakan khidmat pemain perancang itu.

"Terdapat perbincangan peringkat awal di antara pihak kami dengannya, namun apakan daya beliau sebagai seorang pemain profesional ingin memilih pasukan lain.

"Kami mengucapkan selamat maju jaya kepadanya bersama kelab tersebut," katanya.