Isu melibatkan tonggak Melaka, Liridon Krasniqi, dan Pahang sebelum ini dilihat mencetuskan pelbagai reaksi, namun bekas pemain Kedah itu tidak mahu komen panjang sambil menegaskan dia profesional menjelang aksi kedua-dua pasukan malam ini.

Liridon memilih untuk tidak mahu memanjangkan isu yang berlaku awal musim ini selepas dia kini menyarung jersi skuad Hang Tuah.

Pertemuan kali pertama dengan Pahang di Stadium Hang Jebat malam ini dilihat mampu menghadirkan suasana luar biasa selepas nama pemain kelahiran Kosovo itu pernah dikaitkan dengan pasukan Tok Gajah itu sebelum ini.

"Tiada sebarang komen. Saya mengucapkan selamat berjuang buat semua pasukan dan pemain bagi musim ini. Pasukan saya kini Melaka dan saya mahu mendapatkan kejayaan bersama pasukan ini, sebab itu saya datang ke sini," katanya.

Bagi Liridon, dia langsung tidak ralat memilih Melaka pada saat-saat akhir walaupun menyedari Pahang kini dilabelkan sebagai pasukan pilihan bagi mencabar kehebatan Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagaimanapun, status Liridon menjelang aksi malam ini menjadi tanda tanya apabila dia tidak memenuhi sesi latihan pada hari terakhir, sebaliknya menjalani rutin lain bersama tiga pemain Melaka yang mengalami kecederaan.

"Setakat ini, saya gembira di sini. Kami melalui proses komunikasi yang baik. Suasana di dalam bilik persalinan sentiasa menyeronokkan."