Pemain import Melaka, Liridon Krasniqi, berdepan kemungkinan untuk kehilangan tempat dalam pasukan itu andai masalah kecergasannya gagal dipulihkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Liridon gagal memaparkan aksi berkesan sejak akhir-akhir ini.

Ia disebabkkan masalah otot paha yang menuntut pemain kelahiran Kosovo itu mendapatkan rawatan di Jerman.

Liridon berjanji dia akan kembali cergas sepenuhnya dalam tempoh sebulan dan akan membantu Melaka dalam aksi berdepan Perak hujung bulan ini.

"Saya masih belum pasti memandangkan rawatan itu pasti memberikan kesan terhadap kecergasannya.

"Kami masih memantau tetapi belum sampai ke tahap mahu menggugurkannya.

"Kami perlu melihat keadaannya selepas menjalani rawatan itu terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan lain," kata Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA), Datuk Wira Yusoff Mahadi.

Bagaimanapun, setiap yang berlaku pasti akan disertai dengan pelan kedua.

Yusoff tidak menolak dia perlu memikirkan kemungkinan untuk mencari pengganti Liridon memandangkan jendela perpindahan kedua semakin hampir.

Jika Liridon didapati tidak cergas menjelang aksi dengan Perak, dia mungkin sudah tahu kemungkinan yang akan dihadapinya nanti.

"Kami sentiasa bersedia untuk mengambil sebarang tindakan yang diperlukan.

"Jika keadaan Liridon masih tidak mengizinkannya untuk diturunkan beraksi, kami perlu memikirkan perancangan lain.

"Kami tidak mahu kehilangan seorang pemain seperti itu akan merencatkan peluang pasukan ini untuk beraksi lebih baik," tambah Yusoff.