Tidak lagi dibelenggu krisis tunggakan gaji, Kelantan tiada alasan untuk tidak mempamerkan prestasi terbaik ketika menentang PKNS FC dalam saingan Liga Super di Kota Bharu, esok.

Presiden baru Persatuan Bolasepak Kelantan (KFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, sudah mengotakan janji, kini tiba giliran pemain The Red Warriors pula.

"Semua pemain berasa senang hati selepas masalah gaji selesai.

"Esok, kami perlu mempamerkan aksi sebenar.

"Misi hidup dan mati Kelantan (untuk kekal dalam Liga Super) adalah esok. Saya harap semua pemain buat yang terbaik kerana kami akan bermain di tempat sendiri dan mahu meraih kemenangan demi presiden baru," kata ketua pasukan, Badhri Radzi.

Meskipun berdepan misi sukar, Badhri atau sering disapa Piya itu tetap optimis peluang Kelantan untuk mengelak daripada tergelincir ke Liga Perdana ketika saingan berbaki dua perlawanan.

Kelantan yang menduduki tangga ke-10, dipisahkan hanya satu mata dari zon bahaya yang kini dihuni Sarawak dan Pulau Pinang.

"Sebelum ini, yang kurang adalah semangat sahaja.

"Dengan isu gaji sudah pun selesai, saya minta tolong kepada semua pemain agar memberi fokus sepenuhnya malam esok.

Kepada penyokong, berilah sokongan kepada kami," katanya lagi.