Pemain tengah Terengganu FC (TFC), Lee Andrew Tuck, bersedia untuk mempertimbang menyarung jersi negara ini satu hari nanti jika terdapat tawaran rasmi memandangkan dia mempunyai pertalian darah Malaysia.

Dilahirkan di England, Tuck sudah dua tahun beraksi dalam Liga Malaysia, bermula dengan Negeri Sembilan sebelum berhijrah ke TFC musim ini.

Walaupun datang dengan kapisiti sebagai pemain import, Tuck menjelaskan moyang di sebelah ibunya berasal dari Malaysia.

Ditanya mengenai peluang bermain bersama skuad negara, dia mengakui ada kemungkinan dan menyerahkan kepada pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Saya berharap pada masa akan datang dapat beraksi bersama Malaysia," katanya.

Sementara itu, pemain berusia 30 tahun itu menolak pandangan bahawa prestasinya kian menurun sejak bermula pusingan kedua Liga Super.

Baginya, biarpun gagal menjaringkan gol dalam lima perlawanan terakhir, itu tidak bermakna dia gagal memberikan sumbangan kepada pasukan.

"Walaupun tidak menjaringkan gol seperti pusingan pertama Liga Super, saya terlibat dan banyak membantu pasukan dan berpuas hati dengan persembahan saya."

Imej: Asiana