Tonggak tengah Terengganu FC, Lee Andrew Tuck, memberi jaminan dirinya tidak akan diganggu emosi peribadi apabila berdepan bekas majikan, Negeri Sembilan, dalam aksi Liga Super di Paroi, malam ini.

Baginya, tumpuan kini hanya untuk membantu Terengganu meraih kemenangan dan dia juga akan beraksi seperti biasa sambil menyifatkan tiada apa yang perlu dibuktikan kepada skuad Jang walaupun mereka tidak melanjutkan kontraknya pada musim ini.

"Saya mempersiapkan diri bagi perlawanan ini sama seperti aksi bertemu pasukan lain, cuba kekalkan fokus dan tidak membiarkan emosi mengawal permainan saya kerana ia mampu memberi kesan buruk.

"Saya cuma mahu membantu Terengganu meraih tiga mata," katanya.

Tuck tidak pasti apakah layanan yang boleh dijangkakan daripada peminat setia Negeri Sembilan apabila dia turun berdepan tuan rumah di Stadium Tuanku Abdul Rahman, kali ini.

Pemain kelahiran England itu mengakui dia masih mempunyai hubungan baik dengan beberapa pemain Negeri Sembilan, namun ikatan persahabatan akan dileraikan seketika selama 90 minit untuk perlawanan keempat liga.

"Saya berharap penyokong-penyokong di sana menghargai usaha keras yang saya berikan untuk Negeri Sembilan pada musim lalu.

"Pastinya menarik untuk kembali bertemu rakan sepasukan pada malam ini tetapi di atas padang selama 90 minit, saya akan berjuang buat Terengganu," tambahnya.