Selepas melanjutkan kontraknya selama setahun, Abdul Latiff Suhaimi berazam membalas kepercayaan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) dengan aksi lebih cemerlang, musim depan.

Pemain tengah berusia 27 tahun itu meletakkan sasaran membantu Terengganu berada dalam kedudukan tiga teratas Liga Super selain mendakap sekurang-kurangnya satu piala.

Menurutnya, saingan 2018 pasti lebih getir dengan cabaran pasukan-pasukan lebih berkualiti, namun dia menaruh kepercayaan kepada percaturan ketua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim.

Latiff turut mengakui selesa beraksi bersama Terengganu, sekaligus menolak tawaran daripada empat pasukan lain untuk terus menyarung jersi hitam putih.

“Saya berharap dapat meningkatkan kualiti permainan dan membantu pasukan ini mencapai keputusan lebih baik musim depan.

“Kehadiran pemain-pemain baharu pasti akan memperkemaskan barisan pemain sedia ada,” ujarnya.

Bekas pemain T-Team dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu adalah antara 12 muka lama yang dikekalkan PBSNT untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 2018.