Kedah melepaskan geram dalam usaha mencetak kemenangan pertama Liga Super di laman sendiri apabila membelasah Selangor 4-0 di Stadium Darulaman, malam tadi.

Kedua-dua pasukan melabelkan aksi malam tadi sebagai perlawanan penting untuk mereka kembali mengutip mata dalam saingan liga selepas hambar dalam aksi terdahulu.

Bagaimanapun, Lang Merah lebih mendominasi permainan seawal wisel permulaan ditiupkan dan hasilnya, hantaran Andik Vermansyah cemerlang disempurnakan Syazwan Zainon pada minit keempat.

Sandro Da Silva tidak mensia-siakan peluang terbaik untuk menambah jaringan pada minit ke-45 untuk barisan Nidzam Adzha Yusoff itu di depan dengan dua jaringan tanpa balas sebaik tamat babak pertama.

Memasuki babak kedua, Sandro sekali lagi menambah duka Selangor sebaik menerima tolakan daripada Baddrol Bakhtiar pada minit ke-65.

Akram Mahinan turut tidak melepaskan peluang untuk menyumbang jaringan selepas mendapat hantaran Sandro (m-83) tanpa Gergasi Merah terdaya mencipta peluang menarik.

"Sebenarnya, kami mengambil kesempatan tempoh rehat yang panjang untuk memperkemaskan barisan pertahanan dan meningkatkan corak permainan," kata Nidzam.

Pengendali Selangor, Nazliazmi Nasir, mengakui Kedah lebih ampuh untuk meraih tiga mata.

"Malam ini, Kedah bermain dengan baik sebagai satu pasukan yang mantap.

"Selangor bermain di bawah tahap sebenar," ujarnya.