Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak, menuntut barisan pemainnya supaya mengekalkan rekod bersih tanpa kalah dalam saingan Liga Super walaupun mengakui berdepan tugasan mencabar menentang PKNS FC di Stadium Darulaman, esok.

Kedah, yang masih segar dengan kemenangan 2-0 ke atas Petaling Jaya FC, Jumaat lalu, akan turun dengan reputasi selaku peneraju hasil tiga kemenangan dalam empat perlawanan liga.

Kesemua pemain import Lang Merah yang terdiri daripada Renan Alves, Fernando Rodriguez, Jonathan Bauman, Anmar Almubaraki dan Shakir Hamzah, sudah mempunyai koleksi gol yang dilihat sebagai kekuatan utama Kedah.

Begitupun, PKNS juga mula menemui rentak berikutan dua kemenangan berturut-turut yang membayangkan pertembungan sengit kelak.

"Kami menjalani persiapan seperti biasa.

"PKNS sebuah pasukan yang sangat baik dengan kehadiran dua pemain import dari Argentina serta Kemboja.

"Kami perlu berwaspada dan tidak boleh memberi mereka ruang untuk melancarkan serangan balas.

"Kami perlu berada di tahap 100 peratus untuk menghadapi mereka esok," kata pengendali dari Singapura itu.