Kedah enggan menjadikan aspek kepincangan tanpa tonggak utama sebagai halangan utama untuk memastikan kemenangan ke atas Selangor.

Lang Merah bakal menghadapi aksi ke-11 Liga Super di Stadium Darulaman, malam esok, apabila perlu merombak pasukan, lebih-lebih lagi di bahagian pertahanan.

Pertahanan tengah, Syakir Hamzah, akan menjalani penggantungan manakala ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar, dalam keadaan tidak cergas.

Selepas tewas tipis 0-1 kepada Melaka United, Ahad lalu, ketua jurulatihnya, Aidil Sharin Sahak, tidak rela terus keciciran mata.

Dalam masa sama, pengendali kelahiran Singapura itu tetap berwaspada dengan Selangor yang sudah pasti akan turun dengan motivasi tinggi bagi mengekalkan kelompok tiga terbaik.

"Kami perlu bangkit selepas kehilangan tiga mata.

"Kali ini, kami harus fokus dan bekerja keras.

"Bola sepak adalah tentang soal usaha keras dan mungkin kami perlu melupakan kekecewaan perlawanan lalu dan cuba berikan aksi terbaik selepas ini," ujarnya ketika ditemui dalam persiapan terakhir pasukannya di Alor Setar, petang tadi.