Pengendali Kedah, Nidzam Adzha Yusof, mengakui keutamaan pasukannya adalah saingan Piala Malaysia dan Lang Merah bakal merehatkan beberapa pemain tonggak untuk aksi Liga Super berdepan Felda United di Stadium Darulaman, esok.

Nidzam dijangka merehatkan pemain yang beraksi dalam suku akhir pertama Piala Malaysia bertemu Selangor, Jumaat lalu.

Tarikh perlawanan yang rapat di antara aksi Liga Super berdepan Felda dan suku akhir kedua Piala Malaysia, Ahad ini, menyaksikan Nidzam perlu menggilirkan pemain bagi mengelak risiko kecederaan.

Namun, jurulatih itu dijangka tetap menurunkan empat pemain import, termasuk penyerang utama, Ken Ilso.

“Kami meletakkan keutamaan kepada perlawanan suku akhir Piala Malaysia.

"Saya tidak bimbang dengan pemain-pemain muda atau pun barisan kedua yang akan diturunkan menentang Felda esok,” katanya.

Dalam pada itu, Ilso percaya walaupun tanpa beberapa pemain tonggak yang direhatkan, Kedah tetap mampu merakam kemenangan ke atas The Fighters.

Baginya, pemain yang bakal diturunkan tetap komited memastikan kedudukan tangga kedua dalam liga berjaya diraih.

"Kami mahu kekal di tangga kedua Liga Super walaupun cuba diberi saingan sengit oleh Felda United dan Pahang.

"Kami mahu menjarakkan diri dan oleh sebab itu, adalah penting kami dapat meraih kemenangan," ujar pemain kelahiran Denmark itu.