Tiada pilihan buat Terengganu FC (TFC) kecuali mempamerkan kebangkitan segera yang diharapkan menjelang aksi Liga Super berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) malam esok.

TFC, yang menghuni tangga ke-11 liga, akan menerima kunjungan JDT di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah untuk menghadapi aksi ketiga Liga Super.

Skuad bimbingan Irfan Bakti Abu Salim itu sekadar meraih satu mata dalam dua perlawanan selepas seri 1-1 dengan PKNS sebelum tewas kepada Pahang 3-0 dan kemenangan kini ditagih skuad Peteh bagi memastikan mereka kembali dalam kelompok utama.

"Selepas mengalami kekalahan kepada Pahang tempoh hari, TFC tidak mempunyai sebarang pilihan melainkan bangkit ketika bertemu JDT dan meraih mata penuh," kata Irfan.

TFC telah mengenal pasti kelemahan sentuhan penyudah barisan penyerang pasukan dan Irfan mengharapkan persembahan yang lebih mantap dipamerkan oleh tonggak import serta pemain-pemain tempatan.

"Tchetche Kipre masih belum menemui rentak terbaik dan saya berharap dia mampu bermain dengan lebih baik untuk perlawanan seterusnya."