Pengendali skuad Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, mengakui pincang tanpa tonggak import, Guilherme de Paula, dalam persediaan aksi Liga Super menentang Terengganu di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, hari ini.

De Paula, penyerang skuad Warga Kota dari Brazil, mengalami kecederaan otot kaki kiri ketika berhadapan Pahang dalam perlawanan pertama dan dijangka hanya akan pulih sepenuhnya bulan depan.

Justeru, Yusri perlu mengubah jentera tengahnya untuk memastikan anak buahnya bangkit daripada dua kekalahan lalu sungguhpun mengakui berdepan Terengganu merupakan satu tugas yang sukar.

"Kami kekurangan tenaga import sekiranya Guilherme de Paula tidak dapat beraksi. Ini kerana kebanyakan jaringan Kuala Lumpur musim lalu disumbangkan oleh de Paula dan sedikit-sebanyak dia menyelamatkan kedudukan kami.

"Dengan ketiadaan de Paula dan hanya dapat mempertaruhkan Sylvano Comvalius di bahagian serangan, sebab itulah saya menganggapnya sebagai satu kekurangan.

"Justeru, saya mengharapkan pemain yang diturunkan mampu membantu pasukan," kata jurulatih itu.

Dalam masa yang sama, Yusri lega kerana pertahanan import baru, Luke Woodland, boleh beraksi untuk memperkuatkan lagi benteng.

Woodland, yang mengakui semakin serasi bersama The City Boys, bertekad untuk memainkan peranan penting.

"Pemain tempatan yang ada dalam skuad ini memiliki kemampuan, begitu juga dengan tonggak import.

"Kami memiliki kombinasi pengalaman dalam kalangan pemain dan jurulatih.

"Pemain seperti Irfan Zakaria merupakan tonggak kebangsaan dan saya sudahpun mengenali keupayaannya sebelum tiba di sini. Kami akan saling bergandingan.

"Kami akan berjuang dan tidak akan rugi apa-apa," kata pemain import kuota ASEAN dari Filipina itu yang direkrut bagi menggantikan Achmad Jufrianto.