Kenangan menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal menjadi memori terindah buat pemain tengah Kuala Lumpur, Paulo Josue, yang muncul penjaring gol kemenangan buat pasukannya sambil berharap situasi sama mampu berulang menjelang pertemuan penutup tirai Liga Super di Larkin, malam ini.

Kuala Lumpur menjadi satu-satunya pasukan yang menewaskan JDT dalam saingan Liga Super musim ini dan kemenangan yang mereka peroleh pada 11 Februari lalu itu merupakan antara kejutan terbesar yang dicatat oleh mana-mana pasukan.

Walaupun sudah lebih lima bulan berlalu, ingatan Josue terhadap perlawanan itu masih kekal dalam mindanya yang dianggap sebagai hari paling bermakna sepanjang khidmatnya menyarung jersi Kuala Lumpur.

"Ia merupakan satu malam yang sangat indah.

"Kali ini, JDT pasti akan cuba untuk menjaringkan gol sekiranya berpeluang. Mereka dibarisi oleh pemain-pemain yang baik," katanya.

Di atas kertas dan berdasarkan prestasi terkini, Kuala Lumpur dijangka tidak mampu mengutip sebarang mata di padang keramat juara liga itu sambil ditambah dengan faktor sekadar meraih satu kemenangan daripada lima perlawanan terakhir.

Lebih perit, pasukan bimbngan Fabio Maciel itu akan turun tanpa dua tonggak utama, Guillherme De Paula dan Indra Putra Mahayuddin, tetapi Josue tetap yakin dengan kemampuan pemain lain yang berada dalam pasukan.

"JDT adalah pasukan yang kuat membabitkan pemain-pemain tempatan serta luar. Kami hadir ke sini mahu menikmati aksi dan tidak berdepan tekanan.

"Kami pernah mengatasi mereka dan kali ini, mahu menikmati perlawanan."