Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) tampak sudah mengibarkan 'bendera putih' dalam persaingan skuad Warga Kota itu untuk kekal dalam Liga Super apabila mengakui sudah
bersedia diturunkan 'pangkat' ke Liga Perdana musim depan.


Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, ketika jurulatih sementara, Rosle Md Derus, masih bersikap positif terhadap peluang Kuala Lumpur.

Bukan bermaksud mahu memperkecilkan kemampuan The City Boys, Nokman sebaliknya enggan bermimpi di siang hari walaupun pasukan itu masih mempunyai peluang tipis untuk keluar daripada penyingkiran.

"Kami meminta pemain-pemain memberikan yang terbaik dalam perlawanan terakhir. Kami tidak mempunyai sebarang masalah jika tersingkir ke Liga Perdana," kata Nokman.

Kuala Lumpur kini hanya mengharapkan keajaiban untuk mengelak daripada tergelincir ke Liga Perdana musim depan.

Ia susulan dua lagi pasukan, iaitu PKNP FC dan Felda United, yang turut berusaha mengelak daripada tergelincir, lebih berpeluang untuk kekal dalam Liga Super.

"Kami telah berusaha menangani setiap masalah yang dihadapi tetapi masih gagal meraih keputusan yang positif. Kami akan menilai semula setiap kelemahan jika tersingkir dan berusaha untuk memantapkan kualiti permainan pasukan."