Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Chong Yee Fatt, mengakui pasukannya pincang tanpa tonggak penyerang, Indra Putra Mahayuddin, menjelang aksi ke-15 Liga Super menentang PKNP FC di Cheras, malam esok.

Kapten skuad Warga Kota itu digantung satu perlawanan selepas mengumpulkan tiga kad kuning.

Bagaimanapun, Yee Fatt meletakkan kepercayaan kepada penyerang baru pasukannya, Ahmad Fakri Saarani.

"Benda ini tetap akan berlaku pada waktu ini atau akan datang.

"Tanggungjawab itu berbalik kepada rakan sepasukan yang lain.

"Saya berharap dengan ketiadaan Indra, pemain lain akan mengambil tanggungjawab itu," katanya.

Yee Fatt turut menganggap perlawanan dengan PKNP FC itu penting buat pasukannya untuk memperoleh tiga mata penuh bagi memperbaiki kedudukan yang kini berada di tangga kedua tercorot Liga Super.

"Fakri sudah boleh (membiasakan diri), namun saya berharap Shafiq (Shaharudin) mendapat lampu hijau untuk diturunkan.

"Kehadiran dua pemain itu akan menambah motivasi pemain di bahagian serangan.

"Saya mengharapkan yang terbaik daripada mereka," tambahnya.