Jendela kedua perpindahan pemain Liga Malaysia (Liga M) 2018 semakin rancak dengan pertukaran pemain import beberapa pasukan dan tidak terkecuali skuad Kuala Lumpur yang dikhabarkan mengintai penyerang dari Belanda, Sylvano Comvalius.

Comvalius berada dalam radar skuad ibu kota itu bagi menggantikan pemain tengah import, Junior Aprecido, yang gagal menyerlah untuk musim pertamanya.

Difahamkan, hasrat pasukan itu mahu mendapatkan Comvalius adalah berdasarkan aksi cemerlangnya bersama Bali United tahun lalu dengan rekod 37 gol daripada 34 perlawanan.

Berhijrah ke Thailand awal tahun ini, dia bagaimanapun dikhabarkan kurang gembira dan mahu berhijrah keluar daripada kelab Supbhanburi.

"Dalam saingan liga ini, kehadiran pemain import mampu membantu pasukan dan saya mengharapkan import yang akan menyertai pasukan mampu menampilkan aksi terbaik," kata penyerang Kuala Lumpur, Zaquan Adha Abdul Razak.

"Mereka memiliki kelebihan masing-masing, Kuala Lumpur memerlukan kehadiran mereka bagi menampilkan aksi yang lebih cemerlang dalam separuh kedua saingan Liga Super," kata pertahanan Kuala Lumpur, Syazwan Andik.

Sejak beberapa perlawanan lalu, Kuala Lumpur sekadar menggunakan empat pemain import, iaitu Guilherme de Paula, Paulo Josue, Boburjon Akbarov dan Achmad Jufriyanto.

Imej: Asiana