Kuala Lumpur hampiri penyingkiran

Oleh Staff Writer 13 Julai 2019 2230
Kuala Lumpur hampiri penyingkiran
KUALA LUMPUR 0 JDT 4

Kuala Lumpur semakin hampir tersingkir ke Liga Perdana apabila gagal meraih tiga mata ketika menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam ini.


JDT meneruskan rekod tanpa kalah mereka sepanjang musim ini apabila menewaskan skuad kendalian Roslee Md Derus itu 4-0 untuk skuad Warga Kota itu kekal terperosok di tangga tercorot liga.

Skuad pelawat bimbingan Luciano Figueroa itu mempamerkan corak permainan agresif sejak perlawanan bermula dan berjaya membuka jaringan apabila Gonzalo Cabrera yang melakukan larian darip sayap kiri menewaskan dua pertahanan lawan untuk melepaskan rembatan kencang pada minit ke-14.

JDT meneruskan serangan sehingga membuahkan hasil lagi pada minit ke-28. Serangan balas yang dilancarkan berjaya membuka laluan buat Diogo Luis Santo melakukan sepakan leret menewaskan penjaga gol Kuala Lumpur, Sharbinee Allawee Ramli.

Bersambung dalam babak kedua, JDT mempamerkan permainan cemerlang apabila Leandro Velazquez berjaya melakukan hantaran jauh mencari Nazmi Faiz Mansor untuk memahat nama selaku penjaring gol ketiga buat JDT pada minit ke-61.

Sembilan minit kemudian, Diogo sekali lagi menemui jaringan untuk membenarkan juara Liga Super buat kali keenam berturut-turut itu mendahului perlawanan dengan empat gol tanpa balas.

Keputusan lain:

Liga Super:


KEDAH 4 PERAK 2
PKNP FC 1 FELDA UNITED 1
SELANGOR 3 PJ CITY FC 0

Liga Perdana:

SABAH 1 KELANTAN 0
NEGERI SEMBILAN 2 PDRM 3

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen