Jurulatih Kuala Lumpur, Choong Yee Fatt, gusar momentum barisan pemainnya terganggu ekoran rehat panjang daripada aksi kompetitif ketika skuad Warga Kota itu sudah pun keluar daripada zon penyingkiran.

The City Boys kini di kedudukan ke-10 Liga Super dengan dibezakan dua mata dengan PKNP FC yang berada di zon penyingkiran, justeru hal itu tidak cukup untuk Yee Fatt berasa selesa.

"Kedudukan enam pasukan terbawah tidak jauh bezanya, khususnya melibatkan tiga pasukan tercorot.

"Ia memberi kelegaan besar buat saya dan saya harap usaha itu tidak terhenti setakat ini sahaja.

"Pemain perlu teruskan perjuangan dan meraih mata yang mencukupi untuk kekal dalam Liga Super," katanya.

Sebaliknya, dia meluahkan kegusaran dengan tempoh rehat panjang yang boleh mempengaruhi rentak cemerlang anak buahnya selepas mereka mempamerkan rentak positif dalam lima aksi melibatkan saingan Liga Super dan Piala FA yang lalu.

Ia mampu menjadi petanda yang baik untuk menyelamatkan pasukannya kekal dalam Liga Super musim depan.

"Say harap kami mampu mencipta banyak kemenangan di tempat sendiri musim ini," tambahnya.