Isnin depan akan menjadi penentu sama ada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 27 Mac depan akan diteruskan, dipinda atau dibatalkan di sebalik wabak novel koronavirus.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan bersidang dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Isnin ini untuk membincangkan isu berkenaan.

AFC difahamkan sedang mendapat maklum balas daripada Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA).

FAM menerusi Presiden, Datuk Hamidin Mohd Amin, menegaskan sudah bersedia dengan apa jua kata sepakat yang bakal tercapai.

Pindaan perlawanan itu dijangka bakal memberi kesan kepada penjadualan liga.

"AFC akan memanggil seluruh pasukan rantau Asia Tenggara yang terlibat dan ada juga kemungkinan bahawa AFC dan FIFA akan membatalkan perlawanan ini.

"Isnin ini kami akan bermesyuarat dan kami akan memaklumkannya sebaik mendapat keputusannya.

"Liga-M perlu bersedia jika terdapat sebarang perubahan terhadap perlawanan kelayakan ini," katanya ketika ditemu bual wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, di Wisma Ali Bawal, malam tadi.

Sementara itu, keputusan meneruskan aksi di Dubai akan membangkitkan kegusaran ke atas faktor kesihatan pasukan.

"Kami perlu mendapatkan reaksi AFC mengenai tindakan seterusnya tetapi kami sudah pun bersedia jika perlawanan ini dibatalkan."