Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) menegaskan bahawa mereka tidak mengambil kesempatan dengan kemelut yang melanda Melaka setelah mendapatkan Darko Markovic.

KLFA membuat kejutan untuk menyambar Markovic ketika pemain tengah itu menjadi taruhan utama skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan, Melaka.

Ia masih menjadi tanda tanya mengapa pemain kelahiran Montenegro itu memilih The City Boys walaupun terdapat spekulasi mendakwa ia disebabkan masalah pembayaran gaji membabitkan majikan terdahulu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa, mendedahkan tidak mengetahui mengenai perkara itu sambil menganggap kehadiran Markovic itu sebagai satu bonus buat pasukannya.

"Dia sudah menamatkan kontrak dengan Melaka dan berminat untuk menyertai Kuala Lumpur, jadi kami menandatanganinya dengan harapan dia akan dapat beraksi dalam saingan Piala FA nanti," katanya.

Nokman percaya kehadiran Markovic akan mengubah nasib Kuala Lumpur, yang sedang bergelut di tangga tercorot Liga Super selain melayakkan pasukan itu ke separuh akhir Piala FA.

"Peluang itu masih ada buat Kuala Lumpur dan Felda United.

"Kami perlu berusaha keras dan saya agak risau mengenai persefahamannya dengan pemain lain kerana dia baru masuk.

"Bagaimanapun, kami meminta dia untuk mencuba sebaik mungkin dan berharap kami akan kekal dalam Liga Super," tambahnya.