Setiausaha Agung, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa, mengesahkan skuad warga kota itu terpaksa mengubah perancangan awal mereka untuk membawa masuk tonggak tempatan dan import baru ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.

Sebelum ini, Nokman tidak menolak kemungkinan untuk menggugurkan Junior Aparecido kerana prestasi pemain tengah menyerang Brazil itu yang kurang meyakinkan musim ini.

Namun, hasrat itu terbatas kerana KLFA tidak dapat menanggung kos kewangan tinggi untuk penamatan kontrak pemain itu.

"Mungkin disebabkan kekangan kewangan dan juga disebabkan pemain ini tidak mahu keluar tanpa pampasan yang tinggi, (perlu dibayar) sehingga akhir November. Kami tidak mampu.

"Kalau ambil pemain baru dan bayar pampasan akan menyebabkan persatuan mengalami masalah kewangan. Sebab itu, kami terpaksa simpan pemain itu," kata Nokman.

Sebelum ini, Kuala Lumpur turut dikaitkan dengan beberapa penjaga gol lain, termasuk benteng akhir skuad kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat.

Namun, kegagalan mencapai kata sepakat dengan Khairul Fahmi mengenai tawaran gaji memaksa Kuala Lumpur mengalih tumpuan kepada Sharbine Alawee.

Bekas penjaga gol kebangsaan itu kini adalah pemain tempatan baru tunggal yang dibawa masuk KLFA untuk jendela perpindahan kedua Liga M kini.

"Dia (Sharbine) sudah berlatih sejak awal bulan ini dan jurulatih memang berminat dengannya.

"Risiko tetap ada tetapi berdasarkan pandangan jurulatih dan kecergasannya, saya rasa tiada masalah untuk dia bermain," kata Nokman lagi.