Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) sudah berpatah arang, berkerat rotan terhadap jurulatih import dengan fokus utama mereka mahu mendapatkan khidmat anak tempatan berpengalaman untuk mengemudi skuad Warga Kota, musim depan.

Setiausaha Agungnya, Nokman Mustaffa, menyimpulkan keputusan itu diambil ekoran sedikit kecewa terhadap prestasi suam-suam kuku Kuala Lumpur musim ini sepanjang dikendali Fabio Maciel.

Tidak mahu sejarah sekali lagi berulang jika mengambil khidmat jurulatih asing, KLFA berpendirian mahu menggunakan jurulatih tempatan yang lebih memahami budaya bola sepak di sini.

Antara jurulatih yang berada dalam radar Kuala Lumpur ialah B. Sathianathan dan Irfan Bakti Abu Salim.

"Presiden KLFA, Datuk Seri Adnan Ikshan, lebih berminat untuk menggunakan khidmat jurulatih tempatan.

"Beliau mahukan jurulatih muda dan jika ada jurulatih yang kami minat dan gajinya tidak melebihi peruntukan, kami tiada masalah (untuk membuat tawaran)," kata Nokman.

Mengenai masa depan pasukan, Nokman mendedahkan Kuala Lumpur tetap akan stabil di sebalik perubahan kepimpinan di peringkat Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, KLFA tetap akan mendapat sejumlah peruntukan yang sama seperti mana musim ini bagi pembentukan skuad yang lebih mantap untuk mengharungi musim 2019.

"Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, seorang peminat bola sepak, begitu juga dengan timbalannya, Datuk Dr. Shahruddin Salleh, serta Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamaruddin Jaafar.

"Kalau kami gandingkan kesemua mereka, ini tidak menjadi masalah.

"Khalid sudah menyediakan 'tapaknya'," tambahnya.